Friday, 27 May 2022

Program Perlis Pahadoi tingkatkan ekonomi rakyat setempat

  • Published in Nasional


PADANG BESAR, 25 Januari - Sebanyak RM2 juta disediakan sepanjang tahun ini bagi pelaksaaan Program Perlis Pahadoi, iaitu program bantuan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan di seluruh Perlis.

Jumlah itu sebagai tambahan kepada peruntukan berjumlah RM25.8 juta yang dibelanjakan pada tahun 2021 dan RM12.7 juta pada tahun 2020 bagi menjayakan program itu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, inisiatif Perlis Pahadoi itu bukan sahaja membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19 tetapi juga dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat setempat terutamanya menerusi polisi Perlis bebas niaga.

"Tujuannya adalah untuk mempastikan supaya mereka mencapai satu tahap keselesaan dalam hidup. Kalau yang berniaga itu, kita hendak pastikan supaya perniagaan mereka dapat dikembangkan dan kita hendak memastikan supaya pendapatan mereka bertambah dan seterusnya akan memperbaiki taraf sosio ekonomi merekalah. Itu adalah tujuan kenapa Program Perlis Pahadoi ini dilaksanakan," kata Azlan pada Program Ziarah Perlis Pahadoi ke rumah tiga orang penerima sekitar Dewan Undangan Negeri Mata Ayer bersama Exco Negeri yang juga ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Selain bantuan makanan asas, turut disalurkan adalah membaiki kediaman penduduk yang rosak, membina baru rumah penduduk, bantuan keperluan pesakit terlantar dan bantuan peralatan bagi meningkatkan taraf hidup menerusi perniagaan kecil-kecilan.