Tuesday, 17 May 2022

Guru KEMAS berpolitik? Tiada masalah kata Mahdzir

  • Published in Nasional



GUA MUSANG, 24 Januari - Kebenaran kepada guru Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melibatkan diri dalam politik tidak menimbulkan sebarang masalah kerana pernah diamalkan sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerana guru dan penyelia KEMAS bukan kategori gred DG berbanding guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Guru KEMAS tiada masalah dari dahulu terlibat dalam politik," katanya.

Jelasnya, kebenaran untuk guru KEMAS terlibat dalam politik berbeza dengan guru di bawah KPM yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan diperingkat pengurusan.

"Maksudnya guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, guru-guru ini adalah paling ramai sekali adalah dari DG41, akan naik hingga ke DG54 dan ke Jusa, dalam perkhidmatan guru tidak banyak yang boleh naik hingga ke Jusa sebab tidak banyak perjawatan itu, jadi dia akan berhenti di DG54.

"Tetapi kalau DG54 dia jadi Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua Sekolah atau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, itu ada masalah sikit kalau nak pegang jawatan dalam politik sebab dia ada jawatan yang dia pegang," jelas Mahdzir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembagan Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, pada Isnin.

22 Januari lalu,Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas Kemas dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.