Friday, 27 May 2022

Pusat tahfiz: Tunggu siasatan JAHEAIK, perlu ditutup jika bercanggah dengan Islam

  • Published in Nasional


KOTA BHARU, 22 Januari
- Pusat tahfiz di Bachok, Kelantan yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dibenarkan beroperasi sekiranya didapati melanggar peraturan pihak berkuasa negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Yang tu sudah dalam pemerhatian pihak berkuasa agama negeri dan kita serah kepada keputusan akan dibuat dan siasatan akan dibuat oleh pihak agama negeri adapun pertikaian lain yang berkaitan premis tempat operasi itu terpulang kepada pihak pemilik tempat itu,"

"Saya jangkakan masalah berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat. Pondok berkenaan perlu ditutup sekiranya didapati bercanggah dengan ajaran Islam dan pelajar di pondok itu perlu mencari tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 207 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kota Bharu. 

Semalam media melaporkan, kerajaan negeri sedang meneliti dan menunggu laporan berhubung pusat tahfiz yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan yang sedang dibuat oleh Jaheik dan memandang serius mengenai perkara ini dan ia dikatakan ada sesuatu pendekatan yang agak bercanggah.