Friday, 27 May 2022

Sijil taraf kerakyatan perlu diberi mengikut lunas undang-undang negara - Hamzah Zainuddin

  • Published in Nasional

SELAMA, 22 Januari - Pemberian sijil taraf kerakyatan tidak boleh diambil mudah dan perlu berlandaskan undang-undang dalam negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata siasatan yang perlu dijalankan sememangnya memakan masa yang lama dan kaedah tersebut dilakukan kepada semua rakyat di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan tiada masalah untuk memberikan sijil kerakyatan jika mempunyai dokumen perkahwinan yang didaftarkan di negara ini.

"Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini dan bila kita dah selesai semua, pengesahan saksi semua dah selesai barulah kita berikan."

"Tidak ada masalah langsung untuk saya berikan kepada sesiapa kalau mereka mempunyai dokumen yang sah membuktikan salah seorang daripada ibu atau ayah mereka adalah merupakan warganegara kita," katanya mengulas mengenai siasatan lanjut berkenaan soal taraf kewarganegaraan Rohana Abdullah yang tular baru-baru ini.

Terdahulu, kisah adik Rohana Abdullah tular di media sosial dijaga sejak kecil oleh seorang wanita berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, 83 yang merupakan guru tadika tempat ibu Rohana bekerja.

Rohana ketika berusia dua bulan ditinggalkan ibunya 22 tahun lalu di tadika yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur kerana terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Chee menanggung segala keperluan Rohana dengan wang simpanannya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain bagi memastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim.

Kisah tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang turut berkesempatan menghubungi Rohana pada 15 Januari lalu.