Monday, 16 May 2022

Guru dan petugas KEMAS dibenar untuk kembali berpolitik berkuat kuasa serta merta - PM

  • Published in Nasional

KOTA BHARU, 22 Januari - Kabinet memutuskan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk kembali berpolitik, berkuat kuasa serta merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang untuk berpolitik.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera di minta untuk mengeluarkan surat pekeliling mengenai perkara terbabit supaya tidak lagi memberi tekanan kepada guru.

"Mereka masih tertakluk kepada peraturan daripada jabatan masing-masing. Jikalau mereka didapati berpolitik sehingga meninggalkan tugas, mereka boleh di ambil tindakan disiplin dan sebagainya," kata Ismail selepas menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, mengulas isu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pelajar, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan menunggu laporan terperinci daripada jawatankuasa Protem untuk menentukan sebarang pertimbangan membabitkan isu terbabit.

Beliau berkata laporan berkenaan akan diperolehi selepas jawatankuasa berkenaan mendengar pembentangan daripada pihak Kementerian Pendidikan.

"Kalau kita terus menutup sekolah, ibu bapa juga bimbang dengan masa depan anak-anak mereka yang pembelajaran melalui dalam talian ini juga tidak di terima sepenuhnya oleh rakyat.

"Maka, saya telah meminta supaya Kementerian Pendidikan membentangkan kepada kuartet yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin perlu disegerakan dari segi membuat keputusan," tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa dan di luar waktu persekolahan formal terutama ketika di asrama antara faktor peningkatan kluster institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut melaporkan, faktor lain dikenal pasti adalah amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di asrama belum di tahap optimum.