Friday, 27 May 2022

Bantuan banjir: Pahang tambah peruntukan RM19,000 bagi pembinaan rumah baharu

  • Published in Nasional



BENTONG, 22 Januari
- Sebanyak RM19,000 peruntukan tambahan disediakan untuk setiap pembinaan rumah baharu penduduk terjejas banjir di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil selepas mendapati jumlah peruntukan yang diluluskan sebelum ini tidak mencukupi, berikutan kenaikan harga bahan binaan.

Menurutnya, jumlah itu akan disalurkan bersama peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM56,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM75,000, bagi membina rumah baharu mengikut konsep Rumah Rakyat Pahang (RRP).

"Saya berpandangan sekarang kita ada peruntukan rumah RM65,000 iaitu rumah rakyat Pahang itu pun saya mendapat aduan dan pandangan tidak boleh buat dan kecil sangat, harga barang naik jadi kerajaan negeri naikkan rumah rakyat Pahang kepada RM75,000 dan semasa bermesyuarat dengan Perdana Menteri saya mohon izin kerajaan persekutuan supaya kerajaan negeri tambah RM19,000 jadikan sebuah rumah RM75,000 dan sama dengan rumah rakyat Pahang," katanya di Bentong, Pahang.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa akibat banjir di Bentong telah pun dilaksanakan.

Operasi diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).