Logo

NADMA mungkin perlu distruktur semula, tambah punca kuasa kerajaan negeri-PM

 




KOTA BHARU, 22 Januari- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mungkin perlu distruktur semula bagi membolehkan punca kuasa ditambah di negeri dan daerah, sekali gus melancarkan gerak kerja pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, NADMA bertindak sebagai penyelaras, namun, di negeri-negeri pula, masing-masing mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah sendiri.

“Punca kuasa mungkin kita boleh tambahkan dan kita akan membincangkan perkara ini, mungkin perlu dilakukan penstrukturan semula sekali gus dapat melancarkan pengurusan bencana. Buat masa sekarang, Nadma hanyalah penyelaras".

“NADMA menyelaras dengan memanggil mesyuarat bersama negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan di bawahnya pula ada peringkat daerah yang dipimpin Ketua Jajahan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengurusan bencana negara perlu diperkemas bagi mengelak kerajaan berdepan kerugian besar dalam apa jua musibah dan bencana pada masa depan.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada mesyuarat akan datang perlu membincangkan penyelesaian menyeluruh banjir untuk jangka
masa panjang.

Kajian akan memberi tumpuan kepada langkah penyelesaian yang dapat dibuat terutama melibatkan kawasan-kawasan berisiko selain pendekatan mengurangkan kerosakan dan kerugian kesan bencana alam.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.