Logo

Kerajaan pastikan strategi Bajet 2022 teratur - PM



KUALA LUMPUR, 22 Januari - Kerajaan bertekad untuk memastikan pelaksanaan teratur bagi kesemua strategi yang telah digariskan di dalam Bajet 2022 demi kesejahteraan rakyat, sektor perniagaan yang berdaya tahan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang makmur dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022.

Katanya, bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan Bajet 2022 bernilai RM333.1 bilion, jawatankuasa tersebut akan mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan dasar yang sesuai.

"Proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.

"JPB 2022 akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, pakar-pakar industri dijemput untuk memberi maklumbalas profesional, jika perlu selain mengalu-alukan maklumbalas dari rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022.

Maklumbalas boleh dikongsi melalui talian ‘hotline’ 03-88824666.

Berkaitan dengan bencana banjir yang meninggalkan impak yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga diberi perhatian khusus dalam pelaksanaan bajet itu.

“Sehubungan itu, Bajet 2022 memperuntukkan antara lain sejumlah RM450 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, dan penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara.

“Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama,” katanya.

 

Tagged under BAJET 2022 ismail sabri
Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.