Friday, 27 May 2022

RFID: Serahkan kepada pengguna buat pilihan - PM

  • Published in Nasional



PUTRAJAYA, 20 Januari - Pengguna jalan raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu menggunakan sistem sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch 'n Go (TnG) atau SmartTAG, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kabinet sebulat suara berpendapat pengguna mesti diberi pilihan sewaktu TnG diperkenalkan di peringkat awal dengan pembayaran secara tunai masih diteruskan.

Katanya, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

"Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch 'n Go atau SmartTAG," ujarnya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya.

Mengakui RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan perjalanan namun menurut Ismail, pengguna juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID merupakan projek rintis dan mengambil masa untuk pengguna menyesuaikan diri.

Manakala pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG, katanya.

"Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong RFID, selebihnya lorong Touch 'n Go dan Smartag.

"Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID nak mudahkan jalan, mereka boleh tukar,"

Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya sudah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet, Ismail berkata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk berbincang dan membuat keputusan lanjut.

Tambahnya, apa sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu.

Sejak pelaksanaan RFID pada 15 Januari lalu, media dan pengguna internet melaporkan kesesakan di beberapa plaza tol di sekitar Lembah Klang, didakwa akibat kegagalan RFID berfungsi.

Netizen juga turut berkongsi beberapa video dan gambar di media sosial menunjukkan pengguna jalan raya terpaksa mengundurkan kenderaan mereka sehingga berlakunya kesesakan di plaza tol.

PLUS Malaysia (PLUS) menerusi catatan Facebook pada Rabu berkata, pihaknya kini melakukan analisis data secara proaktif, pemantauan semasa dan kajian bagi penambahbaikan sistem RFID di semua laluan lebuh rayanya.

Menurut PLUS, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS turut bersiap siaga terutama di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk kelancaran penggunaan RFID.