Logo

PM Ismail Sabri masuk UM berdasarkan merit

KUALA LUMPUR, 19 Januari - Penerimaan masuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada tahun 1980, adalah berasaskan merit.

Perkara itu ditegaskan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang UM (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menerusi satu kenyataan.

Tindakan pengguna Facebook, “Andrew Peris” yang mempertikai kelayakan pendidikan dan integriti Perdana Menteri disifatkan mencemar dan memburukkan imej Datuk Seri Ismail Sabri, selain mencalar reputasi Fakulti Undang-undang UM.

Jelas Tan Sri Shahrizat, Dekan pertama fakulti itu, Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, telah menetapkan standard tinggi bagi melayakkan pelajar memasuki Fakulti Undang-undang UM, termasuk Datuk Seri Ismail.

Perdana Menteri turut membuktikan beliau wajar mendapat biasiswa ketika pengajiannya selepas berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan, seterusnya berkhidmat sebagai Peguambela dan Peguamcara.

Tambah Tan Sri Shahrizat, meskipun dibesarkan dalam keluarga sederhana, Datuk Seri Ismail berjaya mencipta kecemerlangan yang membanggakan fakulti sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.