Thursday, 26 May 2022

Perlis ke arah Negeri Banda Raya Menjelang Tahun 2030

  • Published in Nasional

KANGAR, 18 Januari - Aspek perancangan pembangunan fizikal serta pertumbuhan ekonomi menjadi fokus utama, dalam usaha menjadikan Perlis sebagai sebuah Negeri Bandar Raya Menjelang Tahun 2030.

Fokus itu akan mempengaruhi jumlah penduduk negeri yang secara tidak langsung turut meningkatkan bilangan warga kerja, pelajar serta pemain industri sokongan berkaitan.

Titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pembangunan akan membawa kepada perubahan dalam masyarakat secara keseluruhannya.

"Justeru rakyat di negeri ini hendaklah bersedia untuk menangani sebarang masalah sosial yang mungkin akan terjelma akibat daripada pertambahan penduduk dan kehadiran berbagai gelagat manusia dari berbagai lapisan masyarakat," titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyerahkan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada penerima di Kampung Teluk Kacang di sini.

"Sesungguhnya perubahan adalah satu cabaran namun begitu cabaran boleh dijadikan peluang jika cabaran itu ditangani dengan cara yang positif," titah Baginda lagi.

Perkara yang perlu diberi keutamaan adalah melengkapkan diri masing-masing untuk bersedia dalam aspek pendidikan serta pengetahuan agama dan moral bagi menghadapi sebarang perubahan mendatang.