Thursday, 26 May 2022

12,000 unit RKMAT bakal dibina dalam tempoh RMKe-12 dan ke-13

  • Published in Nasional

FOTO FACEBOOK HISHAMUDDIN HUSSEIN

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Kementerian Pertahanan melaksanakan Pelan Tindakan Perumahan 3.0 bagi memastikan lebih ramai anggota dan warga awam kementerian itu, dapat mendiami kediaman yang selesa, selamat dan terjamin.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

"Bagi 2022 sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap meliputi 6 negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak (membabitkan dua kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera)," katanya.

Menurut Hishamuddin lagi, lebih banyak rumah bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) juga akan dibina.

Tiga lokasi telah dikenal pasti iaitu di Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang.

Malah, projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi telah bermula pada 1 Jun tahun lalu dan dijangka siap pada 2025.

"Tidak kisah anggota yang bertugas di perbatasan ataupun anggota dan warga MINDEF yang bertugas di pejabat, setiap di antara mereka adalah penting dan akan dibela kebajikannya.

"Sehubungan itu saya ingin memaklumkan bahawa saya telah mengarahkan supaya Blueprint Perumahan 3.0 MINDEF dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak RM2.59 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan membina kira-kira 100 buah rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM.

Pada tahun ini juga, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, yang akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM.