Wednesday, 26 January 2022

updated 10:55 AM UTC, Jan 26, 2022

Agihan keuntungan Interim 3/2021 FELCRA diawalkan

  • Published in Nasional

FOTO: BERNAMA


MACHANG, 15 Januari - Agihan keuntungan Interim 3/2021 kepada peserta Felcra Bhd (FELCRA) akan dibuat mulai bulan depan, dua bulan lebih awal berbanding sebelum ini.

Dianggarkan agihan interim keuntungan terbabit akan melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM230 juta.

Menurut Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, agihan tersebut akan segera dilaksanakan setelah penyelarasan akaun dan tabungan selesai dilakukan serta proses akhir kemaskini senarai peserta di buat.

"Kalau dulu interim ketiga dividen ketiga diberikan pada bulan April atau bulan empat pada tahun berikutnya. Tetapi saya boleh memberi jaminan bahawasanya untuk interim ketiga ini kita akan beri lebih awal iaitu pada bulan Febuari bererti bulan depan. Kali ini akan ada peningkatan memandangkan kepada bolehlah dianggap kestabilan harga sawit dipasaran antarabangsa." Kata Jazlan kepada media selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang.

Program jualan murah selama dua hari sejak semalam itu melibatkan 30 barangan keperluan asas itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar dengan jualan direkodkan mencecah hampir RM50,000.

Mengulas lanjut beliau berkata nilai keuntungan tersebut diraih dibawah projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tempoh September hingga Disember 2021.

Tambah Jazlan, peningkatan harga komoditi dipasaran terutama kelapa sawit menyumbang kepada kejayaan FELCRA dalam menjana keuntungan yang lebih positif sepanjang tahun lalu.