Thursday, 20 January 2022

updated 2:50 AM UTC, Jan 20, 2022

Tingkat kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah

  • Published in Nasional


FOTO: BERNAMA

TAWAU, 14 Januari - Pertemuan Menteri Pertahanan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini.

Ia merupakan perbincangan untuk mengukuhkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hasrat tersebut telah disuarakannya dan dipersetujui Indonesia dan Filipina.

"Kita tidak boleh berdepan dengan ancaman ini secara keseorangan, dan sebab itu kita perlu bekerjasama rapat dengan negara jiran. Perbincangan dengan kementerian berkenaan merupakan komitmen ketiga-tiga negara terhadap musuh yang sama." Kata Hishammuddin kepada media sempena lawatan kerjanya ke Kem Kukusan di Tawau.

Hishamuddin turut memaklumkan, tiada kes penculikan baharu direkodkan sepanjang tahun lepas di kawasan perairan Sabah.

Ini sekali gus membuktikan keupayaan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam mengawal keselamatan perairan khususnya di kawasan zon selamat Sabah Timur ESSZONE.

Antara kes yang berjaya ditangani termasuklah penculikan untuk wang tebusan, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti militan dan pengganas.

Sementara itu katanya, sebuah lagi kem baharu bagi Tentera Darat akan dibina tahun ini di Felda Sahabat Lahad Datu dengan peruntukan RM646.15 juta bagi memperkasa kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah.