Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

Panglima Tentera Darat ketuai senarai penerima darjah kebesaran, bintang, pingat Negeri Sembilan

  • Published in Nasional



SEREMBAN 14 Januari- Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai 410 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Zamrose, dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Berhad Datuk Lee Tian Hock.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Muzalmah Mustapha Kamal menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Pengelola Bijaya Diraja Kapt (B) Azizi Mohamad Ali dan Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Penghulu Luak Inas Mohammad Ariff Sidek merupakan penerima anugerah Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, Ahli Dewan Negara Senator Dr Ahmad Azam Hamzah, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Serdang Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan Mcdonald's Malaysia Azmir Jaafar dan artis tempatan Wan Aishah Wan Ariffin antara 22 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Seramai 11 individu pula menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Datuk Raja Balang Balai Undang Luak Jelebu Amrus Alias dan Naib Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan M Gobinathan.

Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) kepada dua penerima, Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 31 penerima, Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (43), Setiawan Tuanku Muhriz (STM) (seorang), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (98) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (171).

Seramai 10 orang menerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) manakala 16 lagi menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini bagi sesi pertama, sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 27 Januari. – BERNAMA