Monday, 16 May 2022

Malaysia-Singapura pupuk kerjasama digital lebih erat sokong pemulihan pascapandemik

  • Published in Nasional

FOTO: KKMM

PUTRAJAYA , 13 Januari - Malaysia dan Singapura memupuk kerjasama lebih erat dalam aspek teknologi maklumat dan digital bagi menyokong pemulihan negara dalam fasa pascapandemik.

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) ke-5 yang dikendalikan Singapura secara maya, membincangkan usaha transformasi digital kedua-dua negara berjiran.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, Malaysia akan terus membangunkan teknologi dan model perniagaan unik seiring pembangunan ekonomi digital melalui Revolusi Industri Keempat, selain giat membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

Malaysia berharap dapat meneroka kerjasama berpotensi dalam sektor berkenaan bersama-sama Singapura pada masa akan datang.

Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura Yong Ying-I pula berkata, kolaborasi projek-projek digital kedua-dua negara akan dapat meningkatkan hubungan negara dan rakyat, sekali gus menyokong usaha pemulihan negara daripada pandemik COVID-19.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah JCM ke-6 pada akhir tahun ini.