Wednesday, 26 January 2022

updated 10:25 AM UTC, Jan 26, 2022

Permohonan baharu dan kemas kini BKM, dibuka mulai 1 Januari hingga 31 Januari 2022

  • Published in Nasional

KUANTAN, 28 November - Kerajaan akan memberi tempoh sebulan bagi peluang permohonan baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bermula 1 Januari sehingga 31 Januari tahun depan.

Ia bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan masih diberi peluang untuk memohon BKM.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pembayaran BKM memfokuskan golongan rentan dan golongan berpendapatan rendah (B40) akan dilaksanakan empat kali setahun di mana tarikh pembayaran yang pertama dijangkakan pada bulan Mac 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar, Kuantan.

Dalam pada itu, bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas COVID-19 (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.

Selain itu katanya, kerajaan menjangkakan kira-kira 10 juta penerima memperoleh manfaat melalui BKM termasuk mereka yang sebelum ini berada dalam kategori M40 dan kini disenarai sebagai B40 kesan pandemik COVID-19.