Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Sultan Kedah pengerusikan Mesyuarat Raja-Raja ke-257

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 24 November - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Raja-Raja (MRR) ke-257 di Istana Negara.

Mesyuarat berlangsung hari ini selepas kali terakhir diadakan iaitu mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari tahun lalu yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat bermula 11 pagi itu, Sultan Sallehuddin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Sallehuddin kemudian turut berkenan menanam pokok Rajah Kayu (Cassia Fistula) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Kedah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut.
 
Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Perlis diwakili Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.