Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

67 PPR, perumahan awam di Kuala Lumpur bakal dapat lif baharu

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Sebanyak 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka mendapat lif baharu dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk itu sebanyak RM127 juta akan dibelanjakan menerusi peruntukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berharap proses perolehan dapat dipercepatkan dan kerja penggantian lif akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Turut hadir pada tinjauan Perumahan Awam Seri Perak ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM8.4 juta disalurkan kepada Perumahan Awam Seri Perak, Sentul.

Ia bagi penggantian 14 unit lif di tujuh blok yang telah mencecah usia 35 tahun.

DBKL juga memperuntukkan RM1.8 juta bagi tujuan pendawaian elektrik di perumahan tersebut.

Menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) RM15 juta diperuntuk kerajaan bagi menaik taraf serta membaik pulih kemudahan di kesemua PPR dan perumahan awam di Kuala Lumpur.

Kerajaan turut meneliti beberapa kaedah bagi mengatasi masalah parkir di kawasan perumahan tersebut termasuk cadangan membina bangunan bertingkat bagi kemudahan meletak kenderaan.