Tuesday, 26 October 2021

updated 11:41 AM UTC, Oct 26, 2021

Skim cepat kaya, Bank Negara terima lebih 2,000 laporan dengan kerugian dianggarkan melebihi RM10 juta

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Bank Negara Malaysia (BNM) menerima lebih 2,000 laporan berkaitan skim cepat kaya dan kerugian dianggarkan melebihi RM10 juta sehingga bulan lalu.

Ia termasuk penipuan pelbagai skim ditawarkan di platform media sosial dan iklan di laman sesawang tertentu.

Pemangsa turut menggunakan aplikasi WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan panggilan telefon untuk berhubung dengan mangsa.

Justeru, Penolong Pengurus Besar, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kamarul Rozman Nordin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai penganjuran skim cepat kaya atau skim yang menawarkan pulangan wang yang tidak masuk akal tanpa risiko bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, terdapat penganjur yang menggunakan nama syarikat yang sah dan mengklon syarikat atau sesuatu entiti sebagai modus operandi mereka.

Mereka selalunya akan meminta mangsa membayar sejumlah wang seperti yuran dan sebagainya dan mengemukakan pelbagai dokumen.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyedari bahawa tiada skim pelaburan sah yang memerlukan pelabur memindahkan wang ke akaun persendirian, sebaliknya hanya ke akaun rasmi entiti yang berlesen atau berdaftar dengan SC.

Beliau bercakap pada Siri Webinar Penipuan Kewangan, 'Skim Cepat Kaya : Dijanjikan Keuntungan Berganda, Biarlah Berpada' anjuran Bank Negara melalui laman Facebook Amaran Scam semalam.