Logo

Rampas aset Petronas, Malaysia gesa Sudan hormati perjanjian dua hala

PUTRAJAYA, 13 Oktober - Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap isu berkaitan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan.

Beberapa media melaporkan kerajaan peralihan Sudan berhasrat untuk merampas aset milik syarikat minyak Malaysia, termasuk kompleks tersebut.

Dalam kenyataan, Wisma Putra menggesa kerajaan negara itu untuk menghormati 'Perjanjian Penggalakkan Pelaburan dan Perlindungan Dua Hala' yang disepakati kedua-dua negara serta tidak mencemari premis diplomatik seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Kementerian telah bekerjasama erat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Malaysia di Khartoum, untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak ia mula tercetus pada Disember 2020.

Sehingga kini, pelbagai usaha diplomatik dilakukan termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan untuk kali kedua ke Wisma Putra.

Kementerian Luar turut memaklumkan semua rakyat Malaysia yang tinggal dan berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Khartoum, berada dalam keadaan selamat.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.