Logo

Program 100 Go Digital MDEC, sudah memanfaatkan lebih 100 buah syarikat di Langkawi

LANGKAWI, 18 September - Empat teras utama yang menjadi tumpuan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, MDEC telah memanfaatkan lebih 100 buah syarikat menerusi 100 GoDigital di Langkawi.

Program yang dilancarkan Jun lalu itu menggabungkan pelbagai komponen secara ‘hands-on’ dalam memimpin peserta untuk memastikan mereka mencapai prestasi baik dalam perniagaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam sesi dialog bersama usahawan tempatan di Langkawi daripada jumlah itu, 30 buah syarikat telah sedia mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan masing-masing.

MDEC melalui e-Rezeki pula berjaya mendaftar dan memprofil sehingga 20,149 peserta dari seluruh Kedah.

Di bawah eUsahawan, MDEC berjaya melatih sehingga 591 usahawan baharu di Langkawi dengan jumlah jualan mencecah RM1.46 juta.

Manakala di seluruh Kedah pula, peningkatan kompetitif dilihat selepas berjaya melatih sehingga 31,959 usahawan dengan hasil jualan sehingga RM33.5 juta.

Program Global Online Workforce (GLOW) pula menyaksikan seramai 496 peserta dari Kedah menyertainya dengan pendapatan yang dijana sehingga lebih RM600,000 sejak program bermula September tahun lalu.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.