Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, dimeterai Kerajaan Persekutuan dan PH

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 14 September - Buat julung kalinya, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, PH melakar sejarah dengan memeterai memorandum persefahaman, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut, MoU itu membentuk kerjasama 'Dwi-Partisan' dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

MoU yang dimeterai merangkumi 6 agenda iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Kerajaan yakin MoU yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, malah, mampu memastikan pemulihan Malaysia, berjalan secara holistik dan inklusif.

Transformasi yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Namun, memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

MoU ini juga hasil beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang, ditandatangani secara bersama oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara yang menandatangani MoU ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.