Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

Kerajaan laksana langkah jangka pendek atasi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan pertanian

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 14 September - Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan pertanian.

Jelas Timbalan Menteri I, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Wee Jeck Seng, antara usaha tersebut termasuklah menambah pekerja asing melalui program rekalibrasi tenaga kerja.

Kerajaan turut memberi kelonggaran kepada majikan yang tidak mampu menggaji pekerja asing bagi memindah atau menukarkan pekerja asing kepada majikan lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Selain itu, kementerian juga turut melaksanakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan orang asli untuk bergiat aktif dalam sektor-sektor tersebut.

Tambahnya, aspek modal insan juga akan diperkasa melalui latihan dan kursus kepada warga tempatan yang berminat untuk menceburi bidang tersebut.

Pihaknya juga menggalakkan pemain industri menggunakan teknologi mekanisasi dan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja terutama pekerja asing.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.