Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

KPDNHEP Sarawak pantau peniaga dan pelanggan

  • Published in Nasional

SARAWAK, 12 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Negeri Sarawak giat melaksanakan pemeriksaan di semua premis perniagaan.

Ia bagi memastikan peniaga dan pelanggan mematuhi Prosedur Operasi Standard, SOP yang ditetapkan.

Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, lebih 176 pegawai digerakkan untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Ini bagi memastikan premis-premis perniagaan tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik COVID-19 dalam negara.

55,068 premis telah diperiksa sejak pelaksanaan penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan, PKP Akta 342 digerakkan bermula 13 Mei 2020.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 163 kes kompaun telah dikenakan kerana tidak mematuhi SOP dengan nilai kompaun sebanyak RM494,000.

Azman Adam menyatakannya dalam satu kenyataan media selepas mengetuai pelaksanaan ‘OP Samar’ bagi meninjau pematuhan dan penguatkuasaan SOP PKP Akta 342, di sebuah pasaraya di Kuching.