Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Aidiladha dirai dalam norma baharu

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Seperti tahun lepas, umat Islam di negara ini meraikan Aidiladha dalam norma baharu susulan wabak COVID-19 yang masih mengancam dunia.

Dalam situasi itu juga, umat Islam bersyukur masih dapat menunaikan solat sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman antara 300 jemaah yang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara pagi tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Solat sunat Aidiladha dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Beliau kemudian mendengar Khutbah bertajuk 'Cabaran dan Pengorbanan' yang menyentuh mengenai kenikmatan negara dapat menyambut Aidiladha walaupun pandemik COVID-19 masih belum reda.

Di Sabah, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Datuk Mahiruddin menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Istana Negeri Kota Kinabalu bersama kira-kira 20 jemaah terdiri ahli keluarga dan warga istana.

Solat diimamkan Pegawai Agama Istana Negeri, Imbran Anggun manakala khutbah bertajuk "Pengorbanan Meraih Keredhaan” disampaikan kakitangan Istana, Kamarul Omar Baki.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pula menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Haji Noor, Serusup Tuaran.

Di Masjid Jamek An-Nur Labuan, solat sunat Aidiladha diimamkan Abbas Kasim yang turut menyampaikan khutbah bertajuk “Manifestasi Pengorbanan”.

Khatib menyeru umat Islam untuk terus tabah dengan pengorbanan menghadapi kesempitan dan kepayahan hidup yang melanda dalam pandemik COVID-19 ini.

100 jemaah hadir menunaikan solat Aidiladha di masjid tersebut.

Solat Sunat Aidiladha di Masjid Jamek Ar Rahman, Kampung Pulai Serkam, Jasin, Melaka pula bermula pukul 8 pagi mengikut SOP yang ditetapkan.

100 jemaah dibenarkan masuk dengan saringan ketat.

Ini termasuk wajib memakai pelitup muka dan mengimbas suhu.

Sementara itu pelaksanaan solat sunat Aidiladha di Perlis dibuat di kawasan tanah lapang melibatkan kesemua 103 buah masjid seluruh negeri.

Ia bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menunaikan Solat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, disertai lebih 300 kariah Kota DiRaja Arau serta kepimpinan Kerajaan Negeri.

100 orang jemaah hadir bagi melaksanakan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar.

Imam 1 Masjid Negeri Kedah, Khairul Firdaus Abu Bakar berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan itu sebagai tanda pematuhan terhadap ketetapan yang diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Ini terutama melibatkan mukim yang berada dalam zon hijau, kuning dan jingga di negeri berkenaan.