Logo

Jawatankuasa dibentuk teliti persidangan Parlimen, dianggotai wakil kerajaan, pembangkang

KUALA LUMPUR, 19 Jun - Sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya, Kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya.

Kerajaan juga perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal ataupun hibrid, dan pelaksanaan tersebut perlu selari dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Selain itu, jelas Tan Sri Muhyiddin, wujud juga keperluan untuk mengambil kira mengenai persiapan Parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuklah aturan tempat duduk ahli Parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Tambah Perdana Menteri, beliau bukan sahaja dinasihati Menteri Undang-Undang tetapi juga oleh Peguam Negara supaya tindakan beliau dan kerajaan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau bercakap demikian selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.