Logo

MAFI jamin bekalan ternakan sempena Aidiladha mencukupi

PENGKALAN CHEPA, 20 Jun - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ternakan untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha mencukupi.

Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kerajaan menyediakan 43,842 ekor lembu dan kerbau serta 33,173 ekor kambing dan biri-biri.

Orang ramai katanya, tidak perlu risau mengenai isu penyakit Lumpy Skin Desease (LSD) yang menyerang ternakan kerana kerajaan melalui pelbagai agensi terlibat sudah mengambil pelbagai pendekatan untuk membendung penularan wabak terbabit.

Selain menghentikan kemasukan ternakan import, kerajaan juga memperketat kawalan di seluruh pintu-pintu masuk utama ke negara ini dalam mencegah jangkitan berkenaan.

Beliau memberitahu pemberita selepas meninjau Pusat Abbatoir Jabatan Veterinar di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sebanyak 27 rumah sembelih JPV di seluruh negara sedia menjalankan operasi dan 10 daripadanya memenuhi syarat Eksport Supply Chain Assurance System bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia.

JPV juga telah mengeluarkan lesen kepada 35 buah rumah sembelih swasta di seluruh negara yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.