Logo

Raja-Raja Melayu berkenan hadir perbincangan khas di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-mustafa Billah Shah berkenan mempengerusikan sesi perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Perbincangan khas tersebut bermula pada pukul 2.30 petang disertai oleh lapan wakil Raja-Raja Melayu.

Keberangkatan tiba Raja-Raja bermula pada pukul 11.00 pagi dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejam kemudian.

Turut berangkat, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selain itu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga berkenan hadir pada perbincangan khas tersebut.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merupakan Raja-Raja Melayu yang terakhir tiba sebelum pintu pagar istana ditutup menandakan perbincangan bermula secra rasmi.

Ini adalah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang kedua diadakan atas inisiatif Al-Sultan Abdullah bagi membincangkan mengenai isu kesihatan, ekonomi dan politik negara.

Dalam pertemuan itu juga, Raja-Raja Melayu turut mendapat taklimat khas dari Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali Dan beberapa ketua agensi kerajaan yang lain tentang isu-isu semasa berkaitan COVID-19 dan pelaksanaan darurat.

Setelah lebih empat  jam berlangsung, Sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu berakhir kira-kira pukul 7.00 malam tadi.

Kenderaan pertama yang berangkat pulang adalah kenderaan rasmi membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ia kemudiannya diikuti oleh kenderaan Raja-Raja Melayu lain yang masing-masing diiringi oleh kenderaan pengiring dan polis.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.