Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Pemain sape profesional, Saufi Aiman meninggal dunia

  • Published in Nasional

KUCHING, 11 Jun - Pemain sape profesional, Saufi Aiman Yahya, 31 ditemui meninggal dunia dalam sebuah bilik di apartment City Square, Kuching malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah, Saufi Aiman ditemukan dalam keadaan terbaring oleh rakan sebiliknya sekitar pukul 9 malam sebelum laporan polis dibuat.

Sepasukan bomba dipanggil ke tempat kejadian bagi membawa keluar mayat dari kediaman terbabit lengkap dengan sut perlindungan diri, PPE.

Siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat semasa makan tengah hari bersama rakannya pada hari yang sama.

Ketika dihubungi RTM, ACP Ashmon memaklumkan tiada unsur-unsur jenayah ditemukan di lokasi kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Saufi Aiman pernah mengharumkan nama negara di peringkat Antarabangsa dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia ke-21 pada tahun 2017.