Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Pengabaian SOP punca insiden LRT bertembung

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 10 Jun - Pengabaian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca insiden dua tren LRT bertembung pada 24 Mei lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong masalah teknikal, kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan pemandu (hostler) antara punca pelanggaran berkenaan.

Jelasnya pelanggaran berlaku antara tren 40 yang mengalami masalah teknikal apabila kedua-dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) gagal berfungsi.

Manakala tren 81 yang dipenuhi penumpang dan dilepaskan untuk meneruskan perjalanan dari stesen KLCC sebelum mendapat pengesahan tepat situasi tren yang mengalami masalah itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam talian berkaitan Laporan Jawatankuasa Siasatan bagi insiden pelanggaran tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.

Sementara itu, 23 cadangan penambahbaikan sistematik dikemukakan Jawatankuasa Siasatan.

Kesemua cadangan itu telah diterima kabinet dan perlu diambil tindakan segera oleh Prasarana dan Rapid KL Sdn. Bhd.

Jelas beliau lagi, dapatan daripada laporan berkenaan bertujuan menambah baik sistem keseluruhan industri perkhidmatan rel dan pengurusan infrastruktur bagi memastikan keselamatan awam sentiasa diutamakan.

Penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak.