Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Sidang Parlimen Hibrid: Jawatankuasa Khas kaji dan teliti konsep serta pelaksanaan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Jawatankuasa khas bagi mengkaji konsep serta mekanisme sidang Parlimen secara hibrid telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaannya dari pelbagai sudut dan permasalahan.

Keperluan itu termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom dan Australia.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dalam kenyataan berkata beberapa aspek penting sedang dalam penelitian jawatankuasa khas, khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan untuk diterima pakai, demi memastikan tiada pelanggaran perundangan melibatkan SOP COVID-19 yang berkuat kuasa, ketika ini.

Jawatankuasa khas itu secara khusus mengambil kira himpitan pandemik COVID-19 yang kini melanda negara dan rakyat serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan pemerintahan raja berperlembagaan.

Selain itu, jawantankuasa khas turut sama mengambil kira implikasi kuat kuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemas kini prasarana yang sedia ada melibatkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 senator di seluruh negara.