Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Individu berisiko tidak dibenarkan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 15 Mei - Bakal penerima vaksin yang berstatus individu dalam siasatan (PUI), kontak rapat pesakit COVID-19 atau individu dalam pengawasan (PUS) tidak dibenarkan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini pihaknya mendapati beberapa individu yang berstatus sedemikian hadir ke PPV sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah.

Menurut Khairy, pihaknya akan menjadualkan semula vaksinasi bagi mereka yang berstatus sedemikian kerana individu berkenaan berisiko untuk menjangkiti orang lain.

Selain itu, bagi mereka yang tiada janji temu di MySejahtera tidak perlu hadir ke PPV untuk mencuba nasib mendapatkan vaksin kerana ia boleh menimbulkan kesesakan serta menimbulkan kawasan jangkitan COVID-19.

Khairy bercakap kepada media, ketika melakukan tinjauan ke PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bagi vaksin AstraZeneca.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mempunyai janji temu penerimaan vaksin supaya hadir pada waktu yang ditetapkan atau lebih awal antara 15 ke 30 minit sahaja bagi mengelakkan kesesakan.