Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Warga asing dari pelabuhan India tidak dibenarkan turun daripada kapal di pelabuhan

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 15 Mei - Hanya anak kapal warganegara Malaysia dibenarkan 'sign off' atau turun daripada kapal yang berlabuh di semua pelabuhan dalam negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan menjelaskan, anak kapal terlibat wajib menjalani kuarantin 14 hari di pusat-pusat kuarantin ditentukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Manakala, anak kapal warganegara asing dari pelabuhan India tidak dibenarkan turun daripada kapal.

Arahan itu mula dikuatkuasa 28 April lalu di bawah strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencegah wabak varian yang berasal dari India.

Ia akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 12 Mei hingga 7 Jun ini.

Datuk Seri Dr. Wee turut memaklumkan kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala COVID-19 perlu dikuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi 'Maritime Declaration of Health' oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, mana-mana kapal termasuk dari India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran KKM untuk berlabuh.

Selain itu, pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan di Malaysia adalah dibenarkan bersandarkan kepada SOP ditetapkan KKM, Jabatan Laut serta pihak berkuasa pelabuhan berkenaan.

Datuk Seri Dr. Wee juga menambah, Kementerian Pengangkutan akan terus mengetatkan SOP pencegahan dan memastikannya tanpa kompromi serta mengetatkannya dari semasa ke semasa jika ada keperluan.