Saturday, 15 May 2021

updated 1:08 PM UTC, May 15, 2021

Kanak-kanak perempuan lemas tergelincir dalam longkang

  • Published in Nasional

KULIM, 4 Mei - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Felda Gunong Bongsu sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin dekat Kulim, Kedah, malam tadi.

Kenyataan Ketua Polis Daerah Kulim Suprintendan Azhar Hashim memberitahu dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Naera Dellisha Muhammad Nazri, sedang bermain bersama-sama beberapa kanak-kanak lain sebelum terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

Abang mangsa, Muhammad Thaqif telah pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada bapanya, Muhammad Nazri Abu Saman bahawa adiknya telah jatuh ke dalam longkang ketika bermain semasa hujan lebat.

Bapa mangsa serta beberapa ahli keluarga yang lain telah keluar mencari mangsa.

Mangsa yang jatuh ke dalam longkang telah dibawa arus deras ke longkang besar sebelum dihanyutkan terus ke dalam Sungai Dingin.

Mayat mangsa telah dijumpai oleh orang awam pada pukul 8 malam kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.24 malam sebelum tiba pada pukul 7.57 malam.