Logo

KWP kaji semula mekanisme pematuhan SOP di lokasi tumpuan di ibu negara

PUTRAJAYA, 4 Mei - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji semula mekanisme terbaik bagi orang ramai mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) di beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu negara.

Ini termasuk di kawasan Bazar Ramadan dan juga kedai makan.

Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa secara keseluruhan pematuhan SOP di premis sekitar Kuala Lumpur berada pada tahap memuaskan.

Bagaimanapun, kedegilan sesetengah individu memaksa pihaknya mengkaji semula cara yang terbaik bagi membolehkan semua pihak akur SOP.

Beliau berkata demikian dalam Program Prihatin Ramadan Menyantuni 400 Asnaf Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

Mereka menerima sumbangan berupa bakul makanan dan duit raya.

Secara keseluruhan, kementerian berkenaan memperuntukkan RM300,000 untuk 2,000 asnaf terdiri daripada penerima di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.