Logo

Jemaah haji Malaysia bakal terima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca sahaja

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca kerana hanya dua vaksin tersebut yang diiktiraf Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, perbincangan telah pun dibuat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyelaras perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai SOP umrah dan haji yang kini di peringkat akhir perbincangan.

SOP tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara setelah Arab Saudi membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ibadah itu.

Setakat ini, negara tersebut masih belum mengeluarkan sebarang keputusan mengenai ibadah haji dan umrah musim ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.