Logo

Malaysia rekod kes pertama mutasi berganda India B.1.617.1

PUTRAJAYA, 2 Mei - Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam satu kenyataan, kes mutasi dikenal pasti melibatkan seorang warga India, hasil analisis selepas saringan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya, di India, hampir 60% penularan kes melibatkan varian berkenaan.

Varian mutasi berganda B1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, jelas Datuk Seri Dr. Adham, beberapa penemuan turut direkodkan berdasarkan analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) melibatkan 59 genom dari Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh 24 April hingga semalam.

Ia termasuk 27 kes varian Afrika Selatan B.1.351 melibatkan warga Perak, Kelantan dan Selangor.

Manakala tiga kes varian United Kingdom (UK) B.117 di Sandakan, Sabah.

Secara keseluruhan, negara merekodkan 48 kes varian Afrika Selatan B.1.351, lapan kes varian UK B 1.1.7, satu kes varian India B 1.617.1 dan 2 kes varian Nigeria B 1.525.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.