Logo

Penggunaan katil kritikal di Lembah Klang lebih 88%

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Berikutan peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62% berbanding tempoh dua minggu yang lalu, kadar penggunaan terkini katil kritikal di Lembah Klang telah mencapai lebih 88%.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, terdapat tujuh buah hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit COVID-19 termasuk satu Hospital Universiti di Lembah Klang dan Putrajaya.

Sebanyak 152 buah katil kritikal ICU daripada keseluruhan 277 diperuntuk bagi pesakit COVID-19 di Lembah Klang. Bakinya untuk pesakit bukan COVID-19.

Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal ICU COVID-19 terkini didapati melebihi 70% di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Manakala penggunaannya di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya melebihi 50%.

Setakat hari ini, 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit COVID-19 di Lembah Klang sahaja.

Sehubungan itu Kementerian Kesihatan Malaysia memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal ICU dan bukan kritikal bagi pesakit COVID-19 di Lembah Klang melalui Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19, UCC Wilayah Tengah.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.