Semua keputusan ujian COVID-19 wajib dimuat naik ke SIMKA

PUTRAJAYA, 21 April - Semua keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital, mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta, wajib dimuat naik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, setiap negara perlu memastikan semua data seharian COVID-19 dan data klinikal kes COVID-19 adalah tepat dan sahih

Sistem pengurusan data yang digunakan perlulah telus dan mempunyai integriti.

Sistem ini sentiasa dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan susulan sewajarnya dapat diambil.

Data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan.

Seterusnya data ini dianalisa dan diverifikasi sebelum ianya didaftarkan.

Semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga ke peringkat kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan dan diwajibkan untuk menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit COVID-19.

Oleh itu tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data COVID-19 dan juga data harian yang dikongsikan KKM kepada umum.