Logo

17 kes positif COVID-19 dikenal pasti jangkitan varian B.1.351 Afrika Selatan

PUTRAJAYA, 14 April - 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian B.1.351 Afrika Selatan setakat hari ini.

Varian tersebut mula dikenal pasti 18 Mac lalu pada dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Kluster Jalan Lima serta satu kes masing-masing dari Kluster Kebun baru dan saringan kontak rapat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya memaklumkan, bagi mengesan sejauh mana penyebaran varian B.1.351, lebih banyak kes-kes di kawasan geografi yang berdekatan termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang telah dijalankan dengan turutan jujukan genom penuh.

Sehingga kini, analisis filogenetik serta hubungkait geografi menunjukkan kebarangkalian kesemua 17 kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama.

Selain itu sejak 3 Februari lalu, negara ini turut merekodkan dua kes varian B.1.1.7 United Kingdom dan dua kes varian B.1.525 Nigeria.

Menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham, penemuan kes-kes varian mutasi 'spike' tersebut hasil analisis terhadap lebih daripada 273 turutan jujukan genom penuh virus SARS-CoV-2 dari sampel klinikal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan sehingga hari ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.