Wednesday, 21 April 2021

updated 8:34 AM UTC, Apr 21, 2021

TVET bukan pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 7 April - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang.

Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, TVET berupaya menyumbang tenaga kerja baharu berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang baharu yang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Malah, lepasan TVET mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi ketika ini.

Menerusi pendigitalan pendidikan, negara dapat membangunkan modal insan berkualiti dengan pengetahuan dan kemahiran terkini.

Perdana Menteri yakin Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih tinggi sekiranya budaya digital diamalkan secara menyeluruh dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang pendidikan.

Tan Sri Muhyiddin berucap merasmikan penutupan Sidang Kemuncak dan Ekspo TVET atau TES 2021 secara maya di ibu negara.

Penganjuran TES 2021 memberi peluang kepada perbincangan serius mengenai hala tuju pengajian teknikal serta vokasional di negara ini.

Ia juga tepat pada masanya kerana pelajar lepasan sekolah menengah sedang mencari institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran.

TES 2021 dianjurkan Ruang Cikgu dan Universiti Tun Hussin Onn Malaysia dengan penyertaan institusi TVET yang dibantu secara percuma bagi pendigitalan pendidikan.

Sebuah 'Learning Management System' telah dibangunkan dengan menggunakan kepakaran anak-anak muda Malaysia sendiri untuk manfaat semua institusi TVET yang mengambil bahagian.

Ia selaras dengan Pelan MyDigital sebagai 'blueprint' Ekonomi Digital Malaysia.