Logo

Ordinan Darurat: Perintah pakai 'peranti pengesanan' antara peruntukan baharu


PUTRAJAYA, 3 Mac- 
Perintah pakai 'peranti pengesanan, antara lima peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) Pindaan 2021 yang akan berkuat kuasa 11 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata peranti berteknologi tinggi berbentuk gelang itu, bertujuan mengawal pergerakan individu yang positif COVID-19.

Peranti pengesanan itu, perlu dipakai selama sepuluh hari.

Penalti akan dikenakan sekiranya ia dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah.

"Ia berkisar kepada tiga keadaan iaitu kes mereka yang dirawat di hospital atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau di rumah." 

"Sekarang kita ada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang membolehkan kategori satu dan dua diletakkan pengasingan di rumah, atas sebab itu kita memerlukan peranti khas."

"Seterusnya, pada mereka yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit atau mereka yang di bawah pemantauan (Patient Under Investigation(PUI)), kita telah melakukan saringan RTK-Antigen yang perlu disusuli dengan saringan RT-PCR kerana hubungan mereka dengan kontak rapat atau balik daripada kawasan zon merah."

"Yang ketiga adalah golongan yang sedang di bawah pengawasan (Person Under Surveilence (PUS))."

Datuk Seri Dr.Adham memaklumkannya dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya.

Peruntukan baharu lain, termasuk memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan secara am atau khusus kepada mana-mana individu untuk mengambil langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit, di bawah Seksyen 21 A.

Seksyen 22A pula, membolehkan pertuduhan dibuat terhadap pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, atau Akta 342.

Manakala Seksyen 31 menetapkan sebarang perbuatan melanggar peraturan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tegas Datuk Seri Dr.Adham, tindakan undang-undang bukanlah bersifat mengadili tetapi bertujuan mencegah, sekali gus menamatkan penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.