182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 diterima esok
- Ditulis oleh Media Baharu
- Published in Nasional
PUTRAJAYA, 23 Februari - Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech esok.
Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi Khairy Jamaluddin memaklumkan dos tambahan itu akan dihantar ke negeri-negeri yang masih belum menerima vaksin.
Beliau berkata demikian selepas Simulasi Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Putrajaya.
Sehingga 21 Februari lalu, seramai 572,588 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama.
Jumlah tersebut termasuk petugas di sektor kesihatan dan bukan kesihatan.
Selain itu 55,539 guru di seluruh negara turut dimasukkan dalam senarai fasa satu program imunisasi COVID-19 kebangsaan.
Jelas Khairy Jamaluddin, guru terlibat merupakan kategori berisiko tinggi yang mempunyai komobiliti.
Dalam perkembangan lain, Khairy menafikan dakwaan orang asli dipaksa mengambil vaksin COVID-19.
Tegasnya, pengambilan vaksin tersebut adalah secara sukarela.
Beliau juga berharap aktivis dan pertubuhan badan bukan kerajaan memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk tidak menakutkan mana-mana komuniti atau masyarakat.