Saturday, 6 March 2021

updated 2:05 PM UTC, Mar 6, 2021

Individu bergejala digesa kekal duduk di rumah elak penularan COVID-19

  • Published in Nasional

 

KUCHING, 24 Januari - Mana-mana individu yang menunjukkan tanda-tanda dan gejala jangkitan COVID-19 termasuk sakit tekak dan hilang deria rasa serta bau, digesa untuk terus kekal duduk di rumah masing-masing.

Usaha tersebut penting bagi memutuskan rantaian penularan virus berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, ini terutama bagi yang tidak pergi mendapatkan rawatan bagi mengelak mereka menjadi punca jangkitan COVID-19 kepada orang lain.

Dalam kenyataan medianya, beliau menyeru individu-individu berkenaan supaya tidak bersikap mementingkan diri serta perlu bersikap peduli terhadap kesejahteraan ahli keluarga serta rakan-rakan masing-masing.

Antara langkah yang perlu diambil bagi mereka yang bergejala adalah mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang lain di sekeliling, duduk di rumah selain mengasingkan diri di dalam sebuah bilik
berasingan.

Mereka juga perlu segera berjumpa doktor dengan mengikuti semua nasihat kesihatan sepanjang perjalanan ke klinik.

Tegas Dr Chin lagi, mereka hanya boleh keluar rumah jika perlu berjumpa doktor atau dipanggil untuk menjalani ujian swab oleh Pejabat Kesihatan Bahagian.

Mereka yang bergejala juga dinasihati untuk tidak ke tempat kerja, menghadiri sebarang perjumpaan atau ke tempat awam terutama semasa musim perayaan.

Menurut beliau, kes-kes terkini jangkitan COVID-19 dalam komuniti banyak disebabkan oleh golongan pekerja yang bergejala dan tidak cakna dengan kesihatan serta keselamatan orang lain.