Saturday, 6 March 2021

updated 1:06 PM UTC, Mar 6, 2021

COVID-19: Fasiliti di Kelantan hanya mampu bertahan dua bulan

  • Published in Nasional

PENGKALAN CHEPA, 24 Januari - Kemudahan fasiliti untuk pesakit COVID-19 di Kelantan hanya mampu bertahan sehingga dua bulan akan datang.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Husin memaklumkan, ketetapan itu berdasarkan jumlah semasa pesakit ketika ini yang mencatat kadar peningkatan setiap hari dengan tiga angka.

Bagaimanapun pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan pesakit-pesakit berisiko rendah.

Menurut Datuk Dr Zaini, hingga kini terdapat 257 pesakit yang ditempatkan di PKRC seluruh Kelantan atau 54.7 peratus daripada kapasiti sedia ada.

Manakala 145 lagi pesakit yang tidak berisiko di kuarantin di rumah, setelah dinilai di Pusat Penilaian (CAC COVID-19) yang dibuka di setiap daerah.