Saturday, 6 March 2021

updated 1:06 PM UTC, Mar 6, 2021

3 lokasi PKPD tamat hari ini dan esok

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Tiga lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Johor dan Negeri Sembilan ditamatkan hari ini dan esok.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia membabitkan Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuaters Kakitangan, Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai Johor serta Penjara Jelebu dan Kuaters Kakitangan, Negeri Sembilan.

Jelasnya PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai ditamatkan lebih awal hari ini daripada yang dijadualkan Jumaat depan.

Pelaporan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi sampel menungggu keputusan.

Bagi dua lagi PKPD iaitu di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai Johor serta Penjara Jelebu dan Kuaters kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan ia akan ditamatkan esok mengikut jadual.

Walaubagaimanapun, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan esok kecuali di Blok Transit (Blok Muhasabah) yang dilanjutkan lagi bermula 25 Januari hingga 7 Februari depan.

Sementara itu, seramai 504 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam.

494 individu dikompaun manakala 10 individu lagi direman.

Kesalahan tertinggi iaitu tidak memakai pelitup muka sebanyak 145 kes, diikuti gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 92 kes.

Manakala tiada penjarakan fizikal sebanyak 77 kes, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran sebanyak 60 kes, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran sebanyak 37 kes serta lain-lain kesalahan 93 kes.

Dalam Operasi Benteng semalam pula, 41 orang Pendatang Asing Tanpa Izin ditahan, dua buah bot atau kapal serta tiga buah kenderaan darat dirampas.

Turut dikesan 155 bot atau kapal berada di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.