Saturday, 6 March 2021

updated 2:05 PM UTC, Mar 6, 2021

'TV Pendidikan akan diperkasa dengan pendekatan bersesuaian' - Dr Radzi Jidin

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 23 Januari - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha untuk terus memperkasa TV Pendidikan dengan pendekatan bersesuaian.

TV Pendidikan yang kini bersiaran di tiga saluran iaitu TV Okey (RTM), Astro dan NTV7 selama sembilan jam sehari.

Menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan TV Pendidikan, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020 sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun sama.

KPM telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses Internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7.

Dr Mohd Radzi dalam facebook rasmi beliau berkata, jumlah masa siaran tersebut belum mencukupi.

TV Pendidikan yang mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 telah menggunakan kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Jan 2009.