Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

Kenaikan minyak masak tidak bersubsidi dipengaruhi harga minyak sawit mentah

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 23 Januari - Kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi dipengaruhi oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang meningkat sejak Ogos tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata harga CPO dilaporkan memuncak melebihi RM3,000 per tan matrik pada Disember tahun lepas menyebabkan pihaknya menerima banyak rungutan mengenai kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi.

Harga minyak masak tidak bersubsidi bergantung kepada CPO dan harga CPO pula ditentukan berdasarkan permintaan dan bekalan.

Ia sekali gus memberikan tekanan kepada harga dalam pasaran tempatan kecuali harga minyak masak disubsidi oleh kerajaan yang tetap dijual pada harga RM2.50.

Datuk Seri Alexander berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas situasi harga minyak masak yang menunjukkan peningkatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sejak Jun tahun lepas, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan trend harga minyak sawit mentah di pasaran dunia telah meningkat setiap bulan disebabkan oleh beberapa faktor iaitu peningkatan permintaan antarabangsa terhadap minyak sawit mentah dan yang telah diproses.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan minyak masak pada harga yang stabil, antaranya bekalan minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50 bagi setiap kilogram.

Minyak masak bersubsidi dijual di pasaran dalam bentuk pek polibeg plastik.