Thursday, 4 March 2021

updated 3:31 PM UTC, Mar 4, 2021

Vaksin penting untuk kembali pulihkan ekonomi - MOSTI

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Program vaksinasi bagi mencegah pandemik COVID-19 yang dirancang kerajaan untuk orang ramai adalah penting.

Ini bagi mewujudkan imuniti kelompok sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi, Pengkomersialan dan Perkhidmatan (STI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata, apabila imuniti kelompok tercapai, maka penularan COVID-19 akan dapat dikawal kerana majoriti penduduk sudah memiliki ketahanan terhadap virus itu.

Menurutnya, apabila masyarakat mempunyai ketahanan dalam kumpulan yang besar terhadap sesuatu virus, negara boleh hampir bergerak dan berhubung dalam keadaan normal.

Jadi, peluang untuk negara membuka sektor ekonomi lebih besar kerana setiap rakyat atau individu telah divaksinasikan.

Imuniti kelompok merujuk kepada keadaan penularan jangkitan yang rendah kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti terhadap jangkitan itu.

Sementara itu, Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata, beliau optimis bahawa program vaksinasi COVID-19 akan mempercepatkan usaha merancakkan kembali ekonomi negara khususnya ekonomi domestik yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut.

Menurutnya, dengan kehadiran vaksin, negara akan mempunyai pelbagai cara pencegahan penularan COVID-19 selain penetapan Prosedur Operasi Standard seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).